Blog ini adalah tempat untuk berkongsi pengalaman hidup untuk memberi erti kehidupan kepada kita semua..tidak bermaksud untuk mengutuk, memerli, menghina atau sebagainya tetapi adalah untuk memberi kesedaran kepada kita semua..berat sama dipikul..ringan sama dijinjing..tak kan melayu hilang di dunia..salam///
Monday, February 23, 2009
Van Der Sar TerBaik!!
MUSIM lalu Cristiano Ronaldo menjadi tonggak utama Manchester United membantu pasukan The Red Devils merangkul gelaran Liga Perdana England (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah tetapi pada musim ini watak hero itu seakan menjadi milik penjaga gawang utama pasukan itu, Edwin van der Sar.
Penjaga gol dari Belanda itu yang memiliki ketinggian 1.97 meter terus mencuri tumpuan musim ini dengan mencatat rekod baru dalam liga di Britain selepas beraksi tanpa bolos sepanjang 13 perlawanan atau 1,212 minit, memadam rekod lama milik penjaga gol, Chris Woods 1,196 minit.
Bekas penjaga gol Juventus dan Fulham itu sekarang ini dalam buruan untuk memecah rekod dunia yang dipegang Abel Resino, 1,275 minit, bermakna dalam perlawanan menentang Fulham Rabu depan dia perlu mengawal gawangnya agar tidak bolos sekurang-kurangnya sehingga minit ke-64.
Van der Sar yang berusia 38 tahun berasal dari Voorhout, Belanda dan memulakan karier seniornya bersama pasukan Ajax Armsterdam dari 1990 hingga 1999, sebelum berhijrah ke Juventus dia membantu Ajax memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah pada 1995.
Selepas beraksi sebanyak 66 kali di Liga Itali tempatnya selaku penjaga gawang nombor satu Juventus terlepas ke tangan Gianluigi Buffon dan mengambil keputusan untuk berhijrah ke EPL bersama Fulham pada 2001 hingga 2005.
Bersama Fulham Van der Sar bermain sebanyak 127 kali sebelum dipancing United pada 1 Jun 2005 dengan jumlah perpindahan sebenar tidak dinyatakan, sepanjang beraksi bersama The Red Devils, Sir Alex Ferguson pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Van Der Sar merupakan penjaga terbaik yang pernah dimiliki United selepas Peter Schmeichel.
Bagaimanapun Van Der Sar sebenarnya sudah lali dengan rekod yang dicatatkannya sebelum ini, antaranya dia berjaya memecah rekod sebagai penjaga gol pertama yang bukan dari Itali beraksi untuk Juve, sementara di peringkat antarabangsa pula dia berjaya mencatat rekod sebagai pemain yang paling banyak mewakili pasukan kebangsaan Belanda iaitu 130 kali memadam rekod lama yang dicipta Frank De Boer.
Jika anda masih ingat Van Der Sar merupakan pemain terbaik perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu ketika United bertemu Chelsea dan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat pada masa sebenar, Anelka gagal menyepak kemas untuk membolehkan penjaga gol yang memakai jersi nombor satu itu menjulang United bagi kejuaraan kedua selepas EPL.
Ramai juga yang tidak sedar bahawa Van Der Sar merupakan penjaga gol yang hebat menerusi penentuan sepakan penalti, ia pernah dibuktikan sebelum ini dalam kejohanan Euro 1996, Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 apabila Van Der Sar berjaya membantu Belanda menang dalam aksi sepakan penalti.
Berbicara mengenai penjaga gol dalam EPL, sejak kebelakangan ini kita dapat lihat tugas menjaga gawang ini memainkan peranan yang cukup besar untuk membantu pasukan beraksi cemerlang serta muncul juara liga seperti mana yang telah dibuktikan oleh Petr Cech bersama Chelsea.
Namun prestasi Chelsea yang semakin merudum sedikit tidak menggugat kehebatan Cech untuk membuktikan dia antara penjaga gol terbaik di dalam EPL musim ini selepas Van der Sar apabila membantu pasukan The Blues yang hanya bolos sebanyak 15 kali dalam 25 perlawanan.
Penjaga gawang Liverpool, Pepe Reina pula boleh dikelaskan sebagai penjaga gol ketiga terbaik setakat ini dalam EPL dengan hanya melepaskan 17 gol untuk membantu Liverpool memberi tekanan ke atas United di tangga kedua.
Walaupun berada di tangga ke-10 liga setakat ini, Fulham harus berbangga kerana mereka merupakan pasukan yang keempat paling sedikit bolos hasil kecekapan penjaga gol Australia, Mark Schwarzer serta bersama barisan pertahanan yang mantap.
Kehebatan keempat-empat penjaga gol ini dilihat satu malapetaka buat pasukan kebangsaan England, ini kerana antara lima penjaga gol yang kurang bolos dalam EPL bukanlah berasal dari England.
Di mana kedudukan David James, Paul Robinson, Scott Carson, Chris Kirkland, Robert Green dan Joe Hart bakal pewaris penjaga gol legenda England seperti Gordon Banks dan Peter Shilton.
James misalnya antara penjaga gol England yang paling senior gagal untuk membantu pasukannya, Portsmouth untuk berada dikedudukan yang selesa di dalam liga apabila penyandang juara Piala FA itu berada ditangga ke-16 dengan memboloskan gol sebanyak 41.
Sementara itu, Robinson yang mewakili England sebanyak 41 kali tidak jauh bezanya dengan James apabila gagal untuk membantu Blackburn Rovers keluar dari zon penyingkiran dengan berada ditangga ke-18 liga termasuk bolos sebanyak 41 kali.
Lebih teruk dari itu Carson yang diberi peluang oleh pengurus England, Fabio Capello untuk beraksi dalam perlawanan antarabangsa menentang Switzerland tahun lalu muncul sebagai penjaga gol yang paling banyak bolos selepas 25 perlawanan, setakat ini sahaja dia sudah melepaskan 47 gol dan barisan pertahanan yang lemah bukan boleh menjadi alasan penurunan prestasinya.
Sementara itu Chris Kirkland, Robert Green dan Joe Hart boleh dianggap antara penjaga gol England yang berada dalam prestasi sederhana selepas 25 perlawanan liga walaupun membantu pasukan masing-masing, Wigan Athletic, West Ham United serta Manchester City berada di kelompok 10 terbaik.
Bagaimanapun penjaga gol England perlu berusaha lebih keras untuk menandingi kehebatan Van der Sar musim ini dengan menjadikan contoh tidak semua penjaga gol bertaraf antarabangsa ataupun yang pernah mewakili United dapat mencipta kegemilangan seperti yang dilakukan oleh Van der Sar mahupun Schmeichel.
Selepas Schmeichel mengambil keputusan untuk meninggalkan United pada 1999 sebaik sahaja United memenangi 'treble' juara liga, Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah, Ferguson terpaksa mengerut dahi untuk mencari penjaga gol setanding pemain kelahiran Denmark itu.
Malah Ferguson pernah membuat pembelian pelik dengan mendapatkan penjaga gol yang boleh dikategorikan sebagai pelik iaitu Massimo Taibi dan Mark Bosnich tetapi prestasi mereka seperti mana yang sudah dijangkakan oleh peminat bola sepak antarabangsa, dalam masa yang sama penjaga gol Perancis, Fabien Barthez juga yang dibawa masuk Ferguson gagal untuk menyinar.
Raimond van der Gouw yang selama ini banyak menghabiskan masa dibangku simpanan untuk memberi ruang kepada Schmeichel juga gagal mengambil kesempatan di atas ketiadaan penjaga gol legenda United itu, malah gagal untuk bersaing dengan penjaga gol muda pada waktu itu 1999/2000, Roy Caroll serta Paul Rabchuka.
Selain Barthez, Taibi dan Bosnich antara penjaga gol yang gagal untuk menambat hati Ferguson ialah Ricardo, pemain dari Sepanyol itu bagaikan seperti melengkapkan senarai pemain pada musim 2002/2003.
Ferguson juga pernah mendapatkan penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howrd pada musim 2003/2004 tetapi Howard hanya menyinar pada awal musim sahaja dan selepas itu pada tahun 2005 barulah Van der Sar hadir memberi sinar baru buat posisi penjaga gol di United.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment